Friday 1 July 2016

P83) Warkah Buat Hati

Buat hati yang sering menitiskan mutiara nelangsa,

Tanamkanlah di dalam dirimu, cebisan ketabahan dan kekuatan.Semaikanlah benih-benih kesabaran tuk menempuh segala dugaan. Tiada siapa yang berhak mengasihanimu kerna hanya engkau yang tahu urat nadi ceritera berliku.

Setiap darah yang mengalir di jaringan kapilari, mengangkut seribu satu kisah seorang manusia. Sarat dengan pelbagai rasa yang merah pekat menyala. Usah merayu dengan tangisan berlagu untuk meluah isi hatimu, hakikat mereka tidak akan mengerti jauh sekali tuk menghadami.

Simpanlah jaringan yang tersimpul mati di sudut nyali. Bertahanlah pabila dirimu dicaci maki. Kerna mereka punya cerita berbeza dan tiada masa meminjamkan telinga. Janganlah berharap pada mimpi yang indah. Kerna helah maya tiada henti berdusta.

Saat engkau tunduk mengalah, usah bertanya mengapa engkau kecewa. Tidak perlu mendamba bantuan mereka, bangkitlah dari kejatuhan yang melanda, dengan sendiri sekalah airmata. Ketahuilah, mutiara itu sentiasa berharga. Usah dibazir demi yang sia-sia.

TIDAK. Tidak semua orang bisa memahamimu. Tidak semua yang sentiasa bersama dan menjaga dengan hati terbuka. Maka, belajarlah tuk menerima. Bahawa engkau perlu memujuk diri dan pergi. Bangkit dari mimpi dan fantasi, kembalilah ke--

Ellshazraa,
30 Jun 2016, 1356PM

No comments:

Post a Comment

Copyright 2019 Reserved to ELLSHAZRAA