Friday 12 July 2019

P108) Perbezaan Warna Kulit

Malaysia, yang unik tentang negara ini adalah kepelbagaian kaum, bangsa, budaya dan agama. Yang menaikkan nama Malaysia adalah kerjasama setiap kaum yang bersama memajukan negara tercinta. Jelas disini, peranan setiap rakyat adalah sangat penting kerana kita saling bersandaran. Tanpa usaha sesuatu kaum itu, mungkin kita tidak dapat kecapi kesenangan kini.

Mengapa saya bahas isu yang sudah lama lapuk ditelan zaman ini? Setiap orang pun dah tahu tentangnya, satu fakta yang sangat klise tapi teramat sensitif. Baiklah, bagi saya ketiga-tiga kaum ini sangat diperlukan, sebagai contoh di sekolah, universiti, tempat kerja dll. Mengapa? Kerana pendapat dan pandangan mereka berbeza-beza. Kerana inilah kita unik.

Secara jujurnya, saya tidak pernah memilih untuk berkawan dengan siapa. Sama ada melayu, india atau cina kerana bagi saya, kita sama-sama manusia. Saya mesra dengan semua, asalkan mereka turut baik dengan saya.

Tapi, saya sangat sakit hati bila tengok sesetengah orang melayu yang memandang rendah kaum lain. Segelintir ya, bukan semua. Mungkin kerana wujudnya titik riak atau sikap membeza-bezakan dalam hati mereka. Saya kasihan dengan kaum india, kerana orang melayu suka perlekehkan mereka, sebab itu kadangkala mereka berusaha dengan lebih keras sehingga lebih berjaya dari kaum melayu.

Mengapa segelintir orang melayu ramah dengan orang cina tidak dengan orang india?

Kerana perbezaan warna kulit.

Sejak kecil mereka diajar bahawa yang putih itu cantik. Orang berkulit putih itu comel. Kadang-kadang dunia kelihatan tidak adil, kerana rupa; salah silap mereka terlindung dibalik wajah.

Bila lihat sahaja orang berkulit gelap, persepsi mereka sudah berubah. Yang gelap ini pastinya kotor. Sudah tentunya tidak. Sedangkan jelambu kaabah yang hitam itu lebih menyenangkan berbanding kain kafan yang putih bersih. Malah, Bilal Bin Rabah yang berkulit gelap itu sendiri adalah ahli syurga.

Kesimpulan kecil yang mudah disini, sama ada dia cerah atau gelap; tempatnya sama di sisi Tuhan. Yang membezakan adalah amal ibadat atau perwatakan mereka. Tingkah laku mereka yang pantas dinilai, bukannya warna kulit mereka.

Kadangkala persepsi orang melayu itu begini, yang cerah itu pembersih, yang gelap itu pengotor. Jika orang india itu sebersih mana pun, disebabkan dia berkulit gelap, dia dianggap kotor. Jika orang cina atau melayu yang berkulit cerah itu tidak mandi sekali pun, orang tetap anggap dia bersih kerana kulitnya putih.

Saya kecewa, apabila ada orang melayu yang agamanya Islam sanggup menyakiti kaum lain kerana perbezaan bangsa dan warna kulit. Sedangkan Islam itu sangat indah dan menuntut kita untuk berbuat baik dengan semua manusia tidak kira agama dan bangsa.

Mulai hari ini, ubahlah persepsi anda terhadap kaum lain. Berhenti daripada terperuk di dalam minda yang sempit dan negatif. Kerana mindset anda yang teruk itulah, anda tidak berjaya.Wallahualam.

PUISI PERPADUAN

Kini, sudah tiba masanya
Aku dan kamu menepis sengketa
Visi negara dijulang bersama
Dipasak langkah; berjuang setara.

Kita adalah bangsa malaysia
Berteduh di bawah jumantara kelabu
Berkongsi subur tanah dan segar udara
Saling percaya dan berganding bahu.

Biar berbeza rupa dan warna
Di kota dan desa seia sekata
Di bawa nama ke persada dunia
Teguh dipegang bersama-sama.

Berbeza adat berlainan pendapat
Digaul dicantum menjadi erat
Negara maju kerana muafakat
Perpaduan dipupuk dalam masyarakat.

Kita; bakal membentuk sebuah sejarah
Jadikan ia hikayat yang indah
Pahit maung telah diredah
Berikan anak cucu kita masa depan yang cerah.

Kita; adalah masa depan Malaysia
Bangkitlah menjadi pembela
Jika tanah ini dicemari derita
Kerana kita; satu Malaysia.

-Ellshazraa, 2017

No comments:

Post a Comment

Copyright 2019 Reserved to ELLSHAZRAA