Wednesday 27 April 2016

P78) Diari Kafetaria I

Satu bisikan membisik lembut senandung rindu, lantas mempelawaku mengambil tempat di hujung sudut.
Aku terdiam kaku. Bersama secawan kopi hitam pekat dan likat dihadapan mata. Aromanya menusuk qalbu, membawa ku terbang jauh tanpa kerdipan mata.
Wajahnya ku tatapi; anak matanya sinis mengerling. Bagai ada tersirat di balik pandangan, namun ku gagal menebak fikiran. Dalam sekelip mata; dia berpaling.
Kapucino dengan krim berbusa ditaburi serbuk coklat dari Itali, perlahan dihirup-- dinikmati sedikit demi sedikit. Suasana sepi; bisu tanpa bicara. Masih berharap salah satu memecah sunyi yang membara.
Mungkin kali ini, perasaan kecewa berbaur hampa, menuntun keduanya jarak bicara. Sekadar jasad bertentangan, saling berpandangan. Sedangkan roh berterbangan, mencari kepastian.
Ellshazraa,
April 27 2016, 1555pm

P77) Kimia Cinta

Kau dan aku--
Ibarat satu ikatan kimia,
Menderma dan menerima cinta.
Tindak balas antara kita,
Sentiasa membentuk ikatan yang indah.
Dirimu; umpama unsur peralihan,
Sentiasa mewarnai larutan kehidupan,
Lantas membentuk sebatian kebahagiaan,
Yang bertindak sebagai pemangkin haluan.
Di saat atom mulai bersatu,
Ralat prosedur datang menduga,
Amsal halogen hadir menganggu,
Beracun dan sengit baunya.
Aku ingin bersamamu,
Mengelilingi petala cinta,
Ditengah jiwa; hadir dirimu,
Menguasai segenap jaringan jiwa.
Kau-- amsal cahaya,
Yang terangi lorong kegelapan,
Mengalirkan arus bak elektrolit,
Menceriakan atma di saat perit.
Aku bukanlah saintis ternama,
Mampu menghafaz setiap formula,
Namun ikatan cuba dikekalkan,
Takkan terlerai; meski dipisahkan. 
Ellshazraa, 
Makmal Kimia SMKSP
April 27 2016, 1130am

P76) Dambaan Nur Darimu

Sering aku menadah tangan,
Memohon hidayah dan cahaya,
Ku damba kemanisan iman,
Bersama secebis kelapangan dada.
Berjauh hati, jarak bicara,
Lantas sedar dalam kegelapan,
Walau sendiri; aku bahagia,
Namun sesat mencari ketenangan.
Aku-- marhaen tak berdaya,
Lemah; leka akan helah dunia,
Sarat dengan jaringan dosa,
Jasad ceria; hakikatnya derita.
Aku-- menjaga hati manusia,
Mengerat hubungan sesama saudara,
Namun ku renggang dengan pencipta,
Semakin lama; jauh tanpa kata.
Satu persatu dugaan menimpa,
Satu tanda panggilan dari-Nya,
Mungkinkah Dia merinduiku?
Kangen akan pujuk rayuku.
Ellshazraa, 
26 April 2016, 1145pm

P75) Alam Ini

Alam ini--
Setiap orang ingin ulangi,
Semua insan bakal jalani,
Meniti memoir, ligat berseri,
Cangkir mekar; harum mewangi.
Pengalaman ini mendewasakan,
Memupuk sabar jalani kehidupan,
Hidup diburu bayang kenangan,
Galak bersemi dalam ingatan.
Walau manis bersulam pahit,
Kekal tabah harungi hidup,
Meski sakit berbaur perit,
Udara sama kekal dihirup.
Indahnya dunia bersama sahabat,
Diiring bayang gelak dan tawa,
Ikatan terjalin sangatlah erat,
Ranjang tersimpul kekal di jiwa.
Umpama dunia milik kita,
Taman berbunga variasi rona,
Berterbangan indah sang rama-rama,
Menghiasi liku zaman remaja.
Alam ini--
Tiada siapa ingin akhiri,
Setiap satunya dinikmati,
Semua tersimpan; diabadi suci.
Ellshazraa, 
4s SMKSP
27 April 2016, 1000am

P74) Diari Kegelapan

Sampai kapan jasad kan hanyut,
Siapa kan datang menghulur karcis?
Selagi nadi masih berdenyut,
Selama itulah jiwa dihiris.
Hanya kaki berpijak didunia,
Sedangkan roh masih berlegar,
Terpedaya akan helah maya,
Tersesat jauh dari pencipta.
Sediakah aku menerima azab?
Sementara diri tiada amalan,
Tanamkan syurga; terus berharap,
Sedangkan hidup tiada bekalan.
Muliakah impian tanpa usaha?
Sucikah sifat cintakan dunia?
Terlalu taksub hidup nan mewah,
Berakhir di alam tiada hujungnya.

Ellshazraa,
Dataran SMKSP
April 27 2016, 0810am

P73) Kalam Nan Perit

Terasa hati; dihantui kelam,
Atma kecewa ditikam raga,
Menghakis nyali tertusuk dalam,
Merobek jiwa; berdarah hampa.
Saat diri mulai selesa,
Datang dugaan menduga rasa,
Lantas atma disiat duka,
Menghiris segala tenteram dijiwa.
Sungguh sakit ditikam lidah,
Tajam sehingga menusuk jiwa,
Lukanya dalam-- terpahat di atma,
Biarpun perit; ku cuba bersabar.
Demikian kejam aksara manusia,
Cubaan membunuh tanpa puncanya,
Yang wujud hanya benih derita,
Kerana kata; diri binasa.
Kini ku bebas dari dilema,
Tiada guna terus sengsara,
Kerna adil bakal tercipta,
Meski masa berganti masa.
Ellshazraa, 
April 25 2016, 1945pm








P72) Hitungan Bahagia

Lapan hari dalam hitungan--
Padat dengan keindahan,
Sarat dengan kebahagiaan,
Penuh dengan ketenangan.
Seminggu satu hari mencipta kenangan,
Hidup dihiasi rona-rona keceriaan,
Semakin kerap menguntum senyuman,
Mengajar gembira dalam tangisan.
Pabila keakraban mulai terbina,
Semakin aku dilanda fobia,
Sungguh tak rela untuk berpisah,
Meski ribut taufan melanda.
Keunikan gelak tawamu,
Membayangi setiap langkahku,
Harumanmu menusuk qalbu,
Memberi makna disaluti rindu.
Kau; sempurna bagiku,
Setiap satu tingkahmu mencuri hatiku,
Hadirmu menepis segala syahdu,
Menghilangkan semua buntu dan keliru.
Ellshazraa, 
April 25 2016, 1923pm

P71) Serpihan Qalbu

Meniti sepi galur memori,
Aku kehilangan secebis hati,
Yang kian kosong dan sunyi,
Namun cangkir tersimpul mati.
Aku tersesat dalam kenangan,
Lantas keliru dengan perasaan,
Sejauh mana aku berjalan,
Serpihan qalbu gagal ditemukan.
Sekian lama mengumpul kepingan,
Ingin ku cantum semua cebisan,
Agar terbina segala jaringan,
Yang sarat memoir dan kenangan.
Kini; tiada lagi keraguan,
Sejak hadirnya sinar kehidupan,
Tak perlu menyulitkan keadaan,
Mengungkit kenangan menyakitkan.
Sekeping hati ikhlas dihulurkan,
Bukan sekadar mengubat kelukaan,
Namun menghapus kesengsaraan,
Lantas terlupa ketiadaan serpihan.
Tiada lagi dihantui bayangan,
Sekadar cinta; mekar di sanubari,
Namun serpihan masih berselerakan,
Tetap tersimpan sebagai memori.
Ellshazraa, 
April 25 2016, 1846pm

P70) Kanjus Hati


Aku rela dipenjara amsal membawa syabu naga ke melaka, daripada dipenjara cintamu yang penuh dengan dusta, menyeksa hidupku sebagai banduan cinta; terperangkap di balik jejari sandiwara.
Aku rela digantung mati dek mencuri permata, daripada dihukum tak bertali oleh cintamu yang nista. Biar dipandang keji oleh jelata, asal dikenang sebagai sang pencinta yang setia.
Seribu makna dihamparkan depan mata, bentangan luas seolah semuanya indah. Hakikat sekadar fatamorgana dunia, penuh helah maya mengaburkan mata manusia yang lemah dalam rasa.
Sesungguhnya mudah menabur aksara, menebarkan janji dan sumpah setia. Lumrah marhaen nan lemah-- tidak semua mampu dilaksana, sekadar mainan dalam kata.
Ellshazraa, 
23 April 2016, 1714pm

P69) Ceritera Tiada Sudah

Di balik kepulan awan,
Terselindung tafsir kehidupan,
Seorang insan tidak keruan,
Keliru mengukur kemampuan.
Deruan ombak memukul atma,
Yang kian asyik meronta-ronta,
Kebuntuan menghantui sukma,
Setiap laluan, gelap tanpa aura.
Mereka; memerhati tanpa curiga,
Meneliti setiap derapan langkah,
Di mana salah dan silapnya,
Dibaiki sehingga sempurna.
Wajah pedih disambar mentari,
Berlegar; mencari identiti diri,
Kian lenyap bersulam cinta,
Buntu terbungkam dan terkesima.
Dia kehilangan hala tuju,
Tersesat di tengah hutan,
Diselusuri jalan berliku,
Meraba kehadiran rembulan.
Tiada apa mampu diungkap,
Terkaku kerna kehabisan kata,
Segala tabur sudah tersingkap,
Hanya senyum menikmati masa.
Ellshazraa, 
13 April 2016, 1952pm

P68) Kabus Kenangan

Selama ini; cinta berputar mengelilingi orbit di angkasa, tinggi dan indah pandangannya. Setiap pagi mentari terbit membekalkan cahaya, berseri dan menyuburkan benih cinta.
Dialirkan cinta seluas lautan, tidak terlepas setiap genggaman. Pabila terlerai segala simpulan, meski diatur langkah ke bulan tetap ku terpaku dalam lamunan.
Bermatian cuba menghentikan khayalan, namun masih dikejari kenangan. Lantas setiap gerak diikuti bayangan, yang kian mengehad dan mengaburkan pandangan. Jasad kesunyian di lohong kegelapan, tiada lain menjelma di ingatan. 
Ellshazraa, 
20 April 2016, 1938pm

P67) Maya Dunia

Kadangkala, ku tersesat dalam fatamorgana dunia. Penuh nista dengan pelbagai norma homosepian bernyawa namun kaku dalam hayatnya.
Ada ketika, aku kelemasan dalam samudera berombak merdu lembut pukulannya. Tiba-tiba menghentam tak terduga meninggalkan aku karam di lautan hampa.
Marhaen lemah, sekadar picisan berhati sutera. Pabila terluka, dirawat semula tanpa kata meski disiat pisau duka.
Biarlah roh merana pabila jasad berpura bahagia, sedangkan hati meronta-ronta bergelora menahan sengsara.
Tak selamanya atma dikurung di kanjus derita. Ada masa jiwa tak diurus kehilangan rasa, sehingga mematikan segala kata nista melawan aksara.
Rela aku disenangi tanpa sebarang tingkah.  Berbanding melafazkan kata-kata yg dusta.Manis di bibir sedangkan lubuk hati bergelojak rasa .

Ellshazraa, 
20 April 2016, 1925pm

Saturday 16 April 2016

P66) Akhir sebuah kisah

Suatu masa dahulu, aku disapa sendalu bahagia berbisik lembut ke telinga, syahdu asmara menyemarak di jiwa meresap ke dalam nurani yang membentuk cinta.
Adakah aku terlalu ambalela? Membiar pengorbananmu mati dengan sia-sia di pertengahan jalan menuju kemuncaknya, membiar harapanmu musnah di lembah derita,  meninggalkanmu di hamparan kecewa.
Dengan usaha melimpah-ruah, sedaya upaya kau sanggup menebalkan wajah; dicaci dihina, hanya demi melihat senyuman diukir dibibir milik marhaen nan lemah.
Kerna kasih dan cinta, ego membara dipadam selamanya. Memarakkan api menjulang bahagia, semata-mata memperjuangkan rasa. Sekelip mata segala cangkir lenyap tak terduga. Entah mengapa hati tega tuk melukakan jiwa dan hati yang tidak berdosa.
Hati; ibarat silir yang berganti. Berubah-ubah arah dan tujuannya. Seringkali hati hampa tanpa kehadirannya, sehingga dihanyut angin kesepian dan nelangsa.
 Acapkali ku terpaku; hilang semua kata-kata, Terdiam seribu bahasa tak mampu mengungkap tafsiran di jiwa. Malam itu, aku dihujani buntu, melewati sepi hari-hariku. Sekali lafaz memanah hatimu, melayangkan peluru menyergah sanubarimu, membuat kau jatuh tertunduk kaku, lantas mengakhiri semua syahdu.
Ellshazraa - AF
April 16 2016, 0047pm

P65) Bara Kerinduan

Pernah terasa erti kesakitan mendalam. Saat terkenang seseorang di kala malam. Semua yang indah menjadi kelam.
Berdenting jam sebelas. Kerinduan menikam tanpa belas. Sungguh perit sakitnya dilibas, Bara api yang dihanyutkan arus deras.
Mengapa atma pedih teringatkanmu? Semua memori indah merobek hatiku. Aku ingin sekali kau ada disisiku. Saban hari, setiap waktu.
Aku tahu kau bukan milikku, lantas tak layak tuk mencintaimu. Maaf sayang,kerna sejak mula aku dihantui rasa itu. Menyayangi dan tidak sanggup kehilanganmu.
Warkah hati ini ku coretkan buatmu. Segala kalam terbuku dalam hatiku. Tidak ku peduli susunan rangkap rima dan lagu. Asalkan sampai ke lubuk hatimu. Dengarlah jeritan sanubariku, yang makin lama dirasuk nyalaan rindu, aku rindu tuk menatap wajahmu, tanpa jemu. Kini hati dibayangi syahdu. 
Ellshazraa, 
April 15 2016, 2327pm

Friday 15 April 2016

P64) Pemergian


Tuhan, aku sering beraksara denganmu. Dekatkanlah aku dengan insan yang bisa membahagiakan aku. Jauhkanlah dari mereka yang membawa manis pada mulanya namun diakhiri dengan pahit sengsara.
Dan setiap kali aku menadah tangan, aku dapat memerhatikan. Satu demi satu pergi meninggalkanku. Setiap itu juga, airmataku mengalir tanpa diduga.
Setiap yang pergi diganti lagi. Entah mengapa, semakin mencintai semakin perit. Semakin lama, semakin sakit. Kemudian ia pergi bersisakan sepi.
Aku leka dengan cinta manusia. Sehingga lalai akan keagungan cinta-Nya. Seluas mana lautan bahagia, jika asalnya dari marhaen lemah, pasti akhirnya penuh derita.
Kini aku mulai sedar, mengapa semuanya sementara. Tatkala aku mengejar cinta mereka, ku sedar semuanya dustaan dunia. Setiap kali tangah ditadah, Tuhan menjauhkan aku dari sengsara. Agar jauh dari arus yang menghanyutkan jiwa.
Ellshazraa, 
15 April 2016, 2044pm

P63) Ikatan Dilema

Aku mengenali seorang insan. Hadirnya laksana permata yang timbul di tengah-tengah lautan kesepian. Di kala malam, cahayanya persis rembulan, sangat menenangkan.
Acapkali malam menjelma, aku dilindungi aura purnamanya. Lantas aku meniti persisiran dilema, ku rasakan sendalu kencang deruannya.
Setiap hela bisikan, diderai nafasnya membuat bibir mengukir mesra. Tatkala hati di persimpangan nelangsa, dia mengembalikan  gelak tawa.
Tinggal aku dibawah awan hitam, menatap keindahan senja berdarah. Merah menyala, gelap gelita. Andai bisa aku meminta, ku ingin dipimpin bersama menuju cahaya. Namun aku tidak berdaya, tersimpul mati dengan aksara, dia yang hadir sebelumnya.
Ellshazraa, 
15 April 2016, 1945pm

P62) Nafas Baharu

Di tengah-tengah bendang, berdiri seorang gadis berambut perang mayang mengurai,dia tiada di situ hanya jasad terdiam kaku dengan mutiara jernih berjurai.
Hamparan sawah padi meliang-liuk menjamu mata, menenangkan jiwa yang meniti derita, lantas airmata diseka, menaikkan semula ketabahan di atma.
Dia mendongak langit menaakuli kebesaran Yang Maha Esa, tersenyum lembut menepis derita, tirai baru mula dibuka.
Indah sungguh kepulan awan, tinggi di langit beriring sinar mentari, galak memberi cahaya di bumi kian menyinari hati ini.
Lalu sinaran itu menyapa jiwa, cabangan yang gelap kian terang, bersulam jahitan erat kasih dan sayang. Lalu langkah dibuka semula, dengan hela nafas yang panjang, kembali semula ke ranjang.
Ellshazraa, 
15 April 2016, 1158am

P61) Dosa Termanis

Pernahkah engkau berteleku,
Tanpa niat menganggu sesiapa,
Namun mereka dikuasai cemburu,
Hingga sanggup menikam jiwa.
Aku sanggup menderma diri,
Bersama; kala suka dan duka,
Menghulur bantuan saat diperlukan,
Namun dicampak ke gaung kehinaan.
Tanpa hati dan perasaan,
Kau menghunus pedang di dada,
Meninggalkan aku dalam kegelapan,
Penuh kelam dan sengsara.
Tahukah engkau erti kesakitan?
Apabila dilukakan seorang teman,
Tanpa mengenang segala pengorbanan,
Rela dibunuh sebuah persahabatan.
Sepanjang perjalanan hidupku,
Difahami dosa membawa bala,
Namun dihantui dendam membara,
Rasanya manis--setelah dilaksana.
Ellshazraa, 
15 April 2016, 1040am

Thursday 14 April 2016

P60) Kalam Sanubari

Di balik ukiran senyuman,
Terselindung jaringan nelangsa,
Dipamer dalam gerobok silika,
Dipandang indah; dalamnya luka.
Sendalu mengelus lembut,
Menuntun menjejaki paran,
Setiap galur cuba diturut,
Hingga bebas dari kesesatan.
Bibir cuba melafaz aksara,
Pabila kalbu bergelojak rasa,
Dengarkanlah kalam jiwa,
Yang cuba dititip dalam kata.
Hampir saban masa,
Mereka mendengar ilaian tawa,
Amsalkan diri sentiasa gembira,
Walhal dalam sarat sengsara.
Hadirlah insan layak peneman,
Muncul untuk wujudkan harapan,
Mendiruskan diri kala kesepian,
Agar tersentak dari khayalan.
Ellshazraa, 
14 April 2016, 1836pm

P59) Pohonan Kasih

Terlambai aku di dahanan kasih,
Berteduh bawah pohonan rendang,
Walau panahan terasa perih,
Hati dipaksa berpura tenang.
Jutaan daunan galak berguguran,
Terukir namamu disetiap helaian,
Andai hayatnya hampiri kesudahan,
Ku semaikan kasih berpanjangan.
Ku sedar cintamu kayu-kayan rapuh,
Sering tersadung di pengakhiran,
Meninggalkan hatiku yang kian luluh,
Denganmu yang jahil erti perjuangan.
Cintaku persis akar bercabang,
Berkeliaran mencari kehadiran air,
Aku cuba menyebar kasih sayang,
Walau seringkali mutiara mengalir.
Selama ini aku korbankan diri,
Menjaga setiap pucuk dengan rapi,
Jangan kau sebar racun berbisa,
Membunuh tunasan yang mula mekar.
Ellshazraa, 
14 April 2016, 1650pm

P58) Mimpi Yang Nyata

Malam itu; aku dibuai mimpi lena,
Setiap detik bagiku istimewa,
Diriku enggan tuk mengakhirinya,
Tatkala mentari muncul; aku terjaga.
Perlahan-lahan; kelopak mata dibuka,
Ku lihat dunia penuh warna,
Hari-hariku semakin ceria,
Bagai taman; dihiasi rama-rama.
Malam suram bertukar indah,
Rembulan tersenyum bercahaya,
Bintang berkelip dan bersinar,
Mendampingi setiap helaian kata.
Episod ini berulang ribuan kali,
Namun diriku tidak pernah jemu,
Setiap kali hadirmu di sisi,
Takkan ku lelah memandang wajahmu.
Sungguh ku takut akan kebahagiaan,
Diri dihantui fobia dek pertemuan,
Kerna ku lemah detik perpisahan,
Yang memaksa aku untuk melupakan.
Ellshazraa, 
14 April 2016, 1619pm

P57) Bahagia Sementara

Mungkin diputus untuk akhiri,
Namun aku masih menyayangi,
Cintaimu dengan setulus hati.
Kau sempurna, sukar dicari.
Terlalu banyak cangkir bahagia,
Walau masa sedetik cuma,
Aku ingin engkau bersama,
Namun; tidak selamanya.
Aku pernah bermadah kata,
Suatu masa aku kan gembira,
Namun semua sebentar saja,
Kemudian, kembali terluka.
Aku terima segala ketentuan,
Kerna ku tahu ku tak berdaya,
Mendapat semua yang diinginkan,
Cukuplah, meski tak lama.
Terselit doa dan airmata,
Mengiringi kepergianmu,
Walau sakit dan tak tega,
Ku relakan demi bahagiamu.
Ellshazraa, 
31 Mac 2016, 1502pm










P56) Dambaan Jiwa

Seringkali hatiku gelisah,
Terus berkhayal dan bertanya,
Apa sebenar didambakan jiwa?
Acapkali tersentak dikala senja.
Setiap hari aku menyelusuri,
Ke segenap galur kehidupan,
Dibawa angin silih berganti,
Meneliti apa yang aku inginkan.
Namun mengapa tak ku temui?
Malah jiwa perit ditusuk duri,
Kian meninggalkan aku sendiri,
Jauh terbawa mendungan sepi.
Ranjangku ini penuh keliru,
Setiap madahku berasaskan buntu,
Tiada lain mampu diaksara,
Hanya terdiam kaku tanpa kata.
Hati meraung tanpa suara,
Putus asa kerna sengsara,
Sampai kapan terus begini?
Melangkah namun tiada erti.
Ellshazraa, 
14 April 2016, 1542pm





P55) Potret Maya

Semalaman aku tak lena,
Bayanganmu acapkali menjelma,
Rindu semakin marak menyala,
Bagai bergelora di dalam dada .
Kini ku sedari cinta mulai bersemi,
Berputik cantik di rantingan hati,
Bahagia menanti dua sejoli,
Dalam ikatan kasih yang terpatri .
Bara panas sanggup ku genggami,
Ku tempuh-- dugaan tak ku peduli,
Gerhana jiwa semakin diselindungi,
Dengan hadirnya dirimu di hati.
Kini kau; aku miliki,
Takkan sunyi kerna kau di sisi,
Kau umpama penyeri dunia ini,
Penuh fatamorgana dan fantasi.
Tak mungkin semua sumpah setia,
Tergenggam erat di dalam atma,
Namun cinta cuba ku pelihara,
Bertahan seiring dengan bahangnya.
Ellshazraa, 
14 April 2016, 1508pm

Friday 1 April 2016

P54) Dilamun Rindu

Aku tak pernah menyangka,
Kau kan hilang dari sisiku,
Indahnya tika kita bersama,
Melewati segala bahagia.
Kini yang tinggal hanya aku,
Bersama cebisan cinta darimu,
Kau pergi meninggalkanku,
Hingga diri dilamun rindu.
Sendiri; hatiku terluka,
Menahan tusukan rindu ini,
Sungguh perih tertanam di jiwa,
Dan hatiku terhiris pedih.
Dulu ku pernah menyatakan,
Aku lemah pabila kehilangan,
Setiap perpisahan hanya melukakan,
Kerna terpaksa melupa kenangan,
Yang setiap satu menikam perasaan.
Mengapa kau hilang dariku?
Sehingga aku diselubung rindu,
Sungguh aku tidak mampu,
Menahan seksa lamunan rindu.
Ellshazraa, 
1 April 2016, 0954am

P53) Peluang Kedua

Ku terjaga dari lena,
Yang dibayangi wajah indahmu,
Kelakuan membuat kau terluka,
Hingga kau pergi jauh dariku.
Aku hanya marhaen lemah,
Dihanyut arus kekurangan,
Permintaan; yang tinggal hanya ,
Peluang kedua membaiki kesilapan,
Aku homosepian tak sempurna,
Setiap celahan terus berduka,
Tanpa sedar menghampar kecewa,
Hingga kehilangan satu permata,
Kini tersentak dari lamunan,
Hakikat tak bisa melupa kenangan,
Sungguh diri ini kesesatan,
Hilang mencari sang rembulan.
Andai luka tidak dapat diubati,
Setelah diberi peluang berharga,
Maka ku relakan diri ku pergi,
Dibiar derita tanpamu semula.
Ellshazraa, 
1 April 2016, 0911am
Copyright 2019 Reserved to ELLSHAZRAA