Sunday 4 August 2019

Resepi Kudapan : Kuih Gunting Sedap

Hi semua, malam semalam Hanis buat kuih gunting dengan Ibu. Hanis nak kongsilah resepinya, serius sedap gila. Bolehlah korang buat kudapan, krup krap krup krap kunyah masa tengok Movie ke, sambil-sambil main Phone ke. Makan sampai tak sedar tiba-tiba dah habis haha. Untuk pengetahuan korang, resepi yang Hanis share bukan Copy paste google ya uolls. Hanis cuma share resepi yang Hanis buat sendiri. Jadi marilah kita mulakan 😁😁


Haa sebelum Hanis terlupa, resepi yang Hanis share ni boleh dapat 2 balang macam kat gambar atas ni tau. So senang korang nak agak. 2 balang gini kalau kat rumah Hanis, seminggu dah licin sebab adik Hanis memang suka mengunyah haha. Btw bahan dia banyak sikit but rasa dia memang piaw wa cakap lu ! 😝😝

Bahan-Bahan

1) Tepung Gandum - 1kg
2) Telur Ayam - 2 Biji
3) Udang Kering Dimesin - Segenggam
4) Serbuk Cili - 1 Sudu Besar
5) Serbuk Jintan Manis - 1 Sudu
6) Serbuk Jintan Putih - 1 Sudu
7) Marjerin Dicairkan - 1/2 Cawan
8) Garam - 1 Sudu Kecil
9) Santan - 1/2 Kotak
10) Air Secawan atau Lebih
11) Daun Kari Hiris Halus - 2 Tangkai
12) Ajinomoto - Secubit

Cara Penyediaan

1) Mesin udang kering

2) Campur semua bahan kering ke dalam mangkuk

3) Cairkan Marjerin & masukkan ke dalam mangkuk

4) Masukkan air sedikit demi sedikit sambil uli, agak2 sampai adunan tak melekit di tangan

Jadi beginilah rupa adunan, belum goreng bau dah sedap ! 😃

5) Ambil adunan sikit2 dan uli panjang2

Comel kan hahaha
6) Gunting secara serong, ikut korang nak saiz macam mana tapi kalau tebal nanti tak rangup. Pandai-pandai agak lah ya. Hanis gunting sampai tangan lenguh 😂


7) Panaskan minyak masak, goreng sampai garing

8) Tunggu sampai sejuk, then boleh dah masukkan dalam balang

Tadaaa nampak sedap kan ?

Macam biasa, selamat mencuba kepada yang nak mencuba. Daripada korang duduk diam-diam kunyah keropok ke popcorn ke, baik korang makan kuih gunting ni. Bau dah lah semerbak harum, rasa dia memang cukup lengkap ! Jangan lupa Follow Blog ni tau, lepas ni Hanis akan share banyak lagi resepi Limited Edition takde kat mana-mana okayy nokk ! 😂 Bye

Monday 29 July 2019

Resepi Murtabak Maggi Paling Senang

Hi ! Korang pernah makan Murtabak tak ? Mesti pernah kan. Dulu masa tinggal kat Melaka, Hanis selalu pergi pasar malam beli murtabak dari sorang Pakcik ni. Fuhh dah lah murah, tak kedekut pulak tu. Tapi nak beratur tu gigih jugak lah, panjang gila barisan 😂

Haa kalau korang nak Hanis share resepi murtabak tu memang Hanis tak pandai lah hahaha, murtabak maggi Hanis tahu. Bila dengar je murtabak maggi, teringat Hanis zaman menetap kat asrama dulu. Tahun 2013 tak silap, memang murtabak maggi ni famous kakak-kakak dengan abang-abang senior jual kat Kiosk asrama. Asal malam je, mulalah beramai-ramai turun beli lepas tu bawak naik dorm makan berjemaah kahkah.

Jadi disebabkan terflash back, harini Hanis nak share resepi murtabak maggi yang paling senang, simple tapi sedap. Haa sesuai sangatlah bagi yang nak buat tapi tak cukup bahan macam I huwaa. Hanis namakan resepi ni Murtabak maggi malas di saat perutku berkeroncong pada waktu malam. Agitcheww kelas nama kau jah 😄


Bahan-Bahan Asas

1) Sebungkus Maggi ( Kari paling sedap )
2) Dua Biji Telur Ayam

Nisbah 2 biji telur tu untuk sebungkus maggi. Jadi kalau nak buat 2 bungkus maggi, kena guna 4 biji telur lah ye. Bagi Hanis, kalau setakat 2 orang makan, sebungkus dah cukup.

Bahan Tambahan

Bahan asas di atas tu paling cepat, sesuai untuk budak-budak yang tak makan sayur atau memang dapur korang langsung tak ada bahan lain selain maggi dan telur huhu. Masak maggi macam biasa kan terlampau mainstream 😁

1) Lada - Dihiris
2) Bawang Besar - Dipotong Dadu
3) Daun Bawang dan Daun Sup - Dipotong Kecil
4) Isi Ayam - Dipotong Kecil

Cara Penyediaan

1) Celur mee sahaja tanpa perencah selama 2 minit sampai mee terurai. Celur jangan lama sangat sampai mee terlampau lembut atau kejap sangat sampai mee keras kejung, pandai-pandai agaklah ye. 

2) Toskan mee dan asingkan.

3) Gorengkan isi ayam dan asingkan.

4) Basuh telur bersih-bersih dan pecahkan 2 biji telur ke dalam mangkuk.

5) Masukkan mee maggi, perencah kari dan semua bahan ke dalam mangkuk, gaul sebati. 


Adunan murtabak maggi.

6) Panaskan pan, letakkan 1 sudu minyak masak.

7) Apa lagi ? Masaklah murtabak maggi korang tu. Pandai-pandai lah adjust nak saiz kecil ke besar, nak tebal ke nipis. Agak-agak bila dah garing dalam 2-3 minit, balikkan lepastu sedia untuk dihidang.



Korang bolehlah potong-potong dan hidang dengan sos cili. Makan panas-panas tau, kalau dah sejuk tak berapa nak sedap sebab dah jadi keras huhuhu. Sorry gambar tak berapa nak cantik sebab kisahnya Hanis buat waktu malam jadi lighting tak berapa on point.


Tadaa siap dah Murtabak maggi malas di saat perutku berkoroncong pada waktu malam 😂

Jadi selamat mencuba pada yang nak cuba. Next time bila banyak bahan, Hanis akan share resepi Murtabak Maggi Special Version 2.0 kahkah. Jangan lupa Follow Blog ni dan tinggalkanlah komen sikit, Ok Bye ! 😘

Wednesday 24 July 2019

Cha Bang Ang Viral

Hai ! Korang pernah dengar tak Cha Bang Ang by Jaa Suzuran yang tengah Viral sekarang ni ? Bagi yang tak tahu, Cha Bang Ang ni adalah sejenis Dessert (Pencuci mulut) daripada Thailand. Contoh dekat Malaysia kita ada Cendol yang kuahnya diperbuat daripada santan dan gula merah. Kalau Cha Bang Ang ni pula guna Susu Karamel yang sedap gila ! 😍

Haa inilah dia rupa sebenar Cha Bang Ang di Thailand.
Setelah sekian lama terdedah dengan Iklan Cha Bang Ang yang tengah Viral satu Malaysia ni, akhirnya Hanis pun kecundang dan teringin juga nak merasa 😂

💰  Harga 1 Set : RM15 
👉 1 Botol susu karamel 250ml
👉 2 bekas cincau Thai
👉 1 Paket Biji Selasih


1 Set ni boleh makan 3 kali tau sebab susu ni pekat, makan sikit je dah puas. Kalau macam Hanis taktahan manis jadi Sha campur air sikit so boleh buat 4 kali makan haha. Cincau tu pula bukan sebarang Cincau uolls. Bukan yang beshe-beshe kat Malaysia ni. Cincau dia sangat sedap dan kenyal ala-ala Boba, memang syok nak kunyah. Biji selasih tu pula sebagai penambah perisa dan melengkapkan rupa Cha Bang Ang ni.


First time nak cuba dulu, Hanis beli satu je. Tapi lepas dah rasa, uihh menyesal beli satu uolss ! Tak cukup hahaha. Rasa dia sangat fresh dan sedap lagi-lagi kalau telan masa cuaca panas. Ibu Hanis yang tak minat dessert-dessert manis ni pun terus jatuh cinta, dia suruh Hanis beli lagi sebab rasa cincau tu memang unik. Tapi itulah, stok Cha Bang Ang ni memang sangat terhad tau, sekejap je dah licin. So, pastikan korang order cepat-cepat dan beli lebih untuk mengelakkan penyesalan yang amat dahsyat 😆


Cara nak buat Cha Bang Ang ni senang je, mula-mula sediakan ais dalam mangkuk. Lepastu masukkan je Cincau dan biji selasih tadi ikut kuantiti yang korang nak. Kalau taknak letak ais pun takpe, tapi rasa macam tak lengkap pulak haha. Kalau ada ais lagi sejuk dan rasa manis susu karamel tu dapat diimbangkan. Haa lepastu apa lagi ? Korang tuanglah Susu karamel tu dengan penuh perasaan 😆

Tadaa ! Dah siap 😍

Hanis memang bagi 10/10 ⭐untuk Cha Bang Ang ni dan korang mesti cuba tau, confirm repeat order lagi percayalah huhu. Sekarang ni banyak resepi buat Cha Bang Ang homemade tapi yang pasti tak akan sama dengan yang Original dari Thailand terutamanya cincau tu.

Kalau korang dah rasa membuak-membuak nak cuba, boleh lah tengok di Instagram Cha Bang Ang Malaysia. Dekat situ korang boleh cari agent yang berdekatan dengan korang. Okay selamat berchabangang ! 😂

Instagram HQ : Cha Bang Ang Malaysia 


Saturday 20 July 2019

Ujian Fizikal dan Kecergasan Pembantu Penguatkuasa KP19

Assalamualaikum semua, Alhamdulillah ini Entry pertama Hanis buat untuk kongsikan pengalaman. Semoga bermanfaat sebagai rujukan korang 💓

Memohon Jawatan

Al-kisahnya, Hanis memang ada join satu Channel Telegram yang menyiarkan Jawatan Kosong Kerajaan. Tiba-tiba Hanis ternampak Iklan Majlis Daerah Simpang Renggam, apa lagi Hanis pun mohon lah. Kalau nak mohon jawatan kerajaan Negeri ni ada 2 cara,

1) Korang pergi pejabat Majlis tu dan minta borang. Lepas dah isi, hantar semula bersama salinan dokumen yang diminta.

2) Korang pergi ke laman web rasmi Majlis tu, baca maklumat yang disediakan. Kemudian, Print borang permohonan. Lepas dah isi, masukkan ke dalam sampul surat bersama salinan dokumen yang diminta dan pos ke alamat yang dinyatakan.

Jadi, Hanis guna cara yang kedua. Pastikan korang pandai-pandailah tengok tarikh tutup permohonan tu. Kalau agak-agak masa singkat, janganlah mohon takut tak sempat sampai sebelum tarikh tutup. Nak advance buat macam Hanis, guna poslaju terus 😂 Haa sebelum tu Hanis nak ingatkan, pastikan semua salinan dokumen tu telah disahkan ya! Kalau Hanis, gigih pergi pejabat sekolah minta Cikgu Hanis sahkan, kahkah. Korang boleh juga minta Penghulu Taman atau Ketua Kampung korang yang sahkan.

Persediaan 10 Hari Sebelum Ujian

Jadi pada 1 Mac, Alhamdulillah Hanis terima surat Panggilan untuk Ujian Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan daripada MDSR. Jadi, beginilah rupa surat panggilan itu :


Inilah pengalaman pertama Hanis nak pergi Ujian Fizikal ni. Semestinya Excited dan Nervous ye guys hahaha. Disebabkan akak Hanis Penguatkuasa Maritim dan abang Hanis Tentera Udara, Hanis dapat banyak Tips terutamanya daripada akak. Jadi sementara menunggu 10 Mac tu, Hanis yang selama ni menjadi penternak lemak berjaya gigihkan diri turun padang dan apa lagi ? Bersenam dan cuba ikut Panduan Ujian yang ditetapkan secara berperingkat. 

Akak Hanis cakap, masa dia dulu lepas Ujian Fizikal terus dipanggil masuk bilik Interview. Akak Hanis ni sejenis manusia yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan tau, senang cerita berfikiran jauh. Dia bawa baju kurung dan kasut walaupun tak disuruh, siap study lagi uolss hahaha. Kau bayangkan orang lain yang datang dari jauh, dengan baju sukan busuk-busuk pergi Interview.

Bukan tu je, akak Hanis dulu kena pemeriksaan tubuh badan. Kalau perempuan, penguji perempuanlah yang akan periksa. Jadi, siap-siap bawa seluar pendek dan singlet. Tujuannya untuk tengok posture badan, bongkok ke, tangan bengkok ke, parut dan lain-lain. Jadi akak Hanis pun minta Hanis bersedia awal-awal. Hanis pun, bawalah baju kurung, tudung, kasut hitam bertutup dan barang makeup sikit haha. Singlet dan seluar pendek tu Hanis pakai siap-siap. Tak lupa juga, Hanis buat kajian sikit tentang Majlis Daerah Simpang Renggam di laman web rasmi dan pengetahuan am yang berkaitan.

Malam sebelum ujian tu Hanis berdebar-debar sangat. Perasaan yang sama masa nak SPM dulu haha ! Takboleh tidur gaiss. Sampailah Hanis dengar zikir sampai tertidur.

Hari Ujian, 10 Mac 2019

Pagi tu Hanis bangun pukul 5 pagi untuk solat Hajat dan solat Subuh. Hanis doa supaya Hanis dapat penguji yang baik-baik dan lulus ujian tu. Hanis pakai Seluar track, baju sukan dan tudung bawal hitam. Jangan lupa bawa Surat panggilan, kad pengenalan dan pen biru/hitam. Macam biasa, rutin Hanis breakfast dengan Nutrisi Herbalife. Bertolak dengan Ibu, Papa dan adik Hanis dalam pukul 6.30am dan sampai ke Stadium Mini Renggam 40 minit kemudian. Sempat juga singgah beli Livita Honey untuk minum 30 minit sebelum mula ujian kecergasan (akak suruh haha)

First impression, Stadium tu tak ada track pun. Kecil dan ada padang je, ye lah nama pun Stadium mini kan 😂 Stadium tu tepi jalan, jadi boleh nampak semua dari luar. Masa Hanis sampai tu dah banyak kereta parking depan Stadium. Nampak dah muka-muka Calon huhuhu.

Bila dah nak dekat pukul 8, ramai yang pergi depan pintu masuk. Hanis pun ikutlah. Tapi sebelum tu, salam minta restu dan doa Parent dulu ! Diorang tunggu dalam kereta sebab ingatkan tak boleh masuk. Hanis tak pakai cermin mata sebab Hanis tahu masa pemeriksaan mata nanti takboleh pakai cermin mata atau kanta lekap.

Pendaftaran 

Kitorang cuma perlu beratur dan tunjuk je surat panggilan tu. Selepas pendaftaran, kena duduk di kerusi Stadium. Boleh tahan ramai, lebih 100 orang dan lelaki lebih ramai daripada perempuan. Ada juga Parent duduk kat situ, jadi Hanis whatsapp Ibu suruh dia masuk huhuhu, barulah semangat. Hanis pun dah jumpa geng, yang ibu Hanis pun carilah geng dia sebab Parent duduk belakang.

Urusetia pun mulalah bercakap. Peramah betul orangnya, banyak bagi Tips, buat lawak sementara menunggu orang dari Pejabat Kesihatan datang. Tunggu punya tunggu, pukul 9 pagi baru mula Pemeriksaan dan Ujian. Mestilah dimulakan dengan lelaki.

Ukuran Pemeriksaan Fizikal 

Semua badan kerajaan memang mengikut Panduan ni.

a) UKURAN BADAN

1) Ketinggian Minima

Lelaki : 157 cm
Perempuan : 153 cm

2) Berat Badan Minima 

Lelaki : 48kg
Perempuan : 46kg

3) BMI : 19-26

4) Ukuran Dada (Lelaki Sahaja)

Keadaan Biasa : 79
Tarik Nafas : 84

5) Penglihatan

i) Jarak penglihatan 6/9 tanpa memakai cermin mata atau kanta lekap.
ii) Pengecaman warna

Nanti penguji akan periksa tau pakai kanta lekap atau tak, kalau ada kena tanggalkan. Sepatutnya ada Pemeriksaan pendengaran, tubuh badan dan gaya berjalan. Tapi yang ni Penguji tak suruh buat sebab tempat tertutup tu kunci. Huhu buat penat je Hanis pakai baju dengan seluar 2 lapis 😂 Alhamdulillah semua ni lulus, kalau gagal penguji tu akan terus suruh balik.

Ujian Kecergasan

Macam biasa, semua lelaki mula dulu. Yang perempuan ni jadi penonton lah apa lagi. Hanis memang dah mula memikirkan nasib berlari sambil ditonton para Ibu bapa dan calon-calon lelaki nanti adoi. Sebelum lari tu, Hanis minum Livita dulu haha. Bak kata Ibu, "Kalau dah minum Livita tapi tak lulus jugak taktahu la nak cakap apa". Ahh hahaha.

1) Lari 2.4km ( 6x Pusingan Padang )

Lelaki : 14 Minit
Perempuan : 17 Minit

Ini yang paling azab ya guys, pukul 11 pagi matahari terpacak atas kepala. Penguji tu minta kitorang berbaris dan sebut nombor ikut turutan. Hanis nombor 8 (Favourite tu woi !) Jadi setiap kali habis 1 round kena sebut nombor kat Penguji tu sebab dia nak catat berapa round dah kitorang lari. Diorang saja buat Ujian yang ni dulu supaya ramai boleh balik berjemaah. Sepatutnya ujian ni yang terakhir. Tapi tak apa, sekurang-kurangnya tak ada lah korang penat-penat buat semua tapi sampai sini gagal kan?

Separuh mati Hanis lari, 2 round pertama boleh lari non-stop. Lepastu dah mula pancit, Hanis jalan laju sekejap je lepastu sambung balik. Terus-terang Hanis cakap, untuk lulus ujian ni korang sepatutnya tak boleh berhenti langsung. Kalau korang ada berjalan, akhir sekali korang kena pecut selaju yang boleh.

Hanis tengok diorang ni badan kurus, baru separuh dah berjalan. Ada tu 1 round dah berjalan sampailah habis. Alhamdulillah masa tu Hanis tengok muka Ibu je, laju terus Hanis lari hahaha ! Jadi Hanis orang yang kedua tamatkan larian dalam masa 14 Minit. Depan Hanis ada seorang akak ni, dia memang orang kerajaan Gred 11. Hanis tengok abang-abang penguatkuasa MDSR yang hensem-hensem tu sorak-sorak untuk Hanis, makin lajulah Hanis pecut 😂

Tips kat sini, lari je jangan berjalan. Korang boleh slow jog atau jalan laju sahaja. Sebab bila sekali korang dah berhenti, kaki korang dah berat nak berlari balik. Kawal pernafasan dan banyakkan berzikir masa tengah mengah tu. Bayangkan muka Parent masing-masing. Lepas dah habis, jangan duduk dan jangan tunduk. Korang jalan-jalan dulu. Masa tu memang rasa nak pitam, Hanis siap muntah lagi sebab loya haha. Nasib baik sempat pergi tandas. Lepastu baru duduk dan minum air. Dari ramai-ramai, yang lepas cuma 4 orang je.

2) Lari Ulang Alik ( 4 x 10 Meter )

Lelaki : 11 Saat
Perempuan : 13 Saat

Yang ni senang, kau pecut je selaju yang boleh. Tak ada Tips lain dah hahaha.

3) Bangun Tubi ( 2 Minit )

Lelaki : 30 Kali
Perempuan : 28 Kali

Yang ni kalau tak pernah atau jarang buat memang sangat-sangat susah. Korang akan rasa perut kejang sampai tak boleh bangun dah. Jadi pastikan sebelum datang Ujian Fizikal ni kena Fit, sekurang-kurangnya sebulan awal tu kena Sit Up 2 kali seminggu untuk pastikan otot dah kuat dan dah biasa. Bila badan Fit, 28 Kali tu boleh tapau tanpa henti.

4) Lompat Jauh Berdiri 

Lelaki : 215 cm
Perempuan : 162 cm

Pernah dengar tak? Haa ini bukan lompat jauh biasa yang kena lari ambil lajak lepastu lompat tau. Yang ni kena berdiri statik dan lompat melepasi garisan jarak yang ditetapkan. Mendarat dengan kedua-dua belah kaki. Yang ni, penguji tu bagi 2 kali percubaan. Haa korang cubalah buat.

Ujian Tamat

Ujian Tamat dalam pukul 12.30 Tengahari. Alhamdulillah doa Hanis dimakbulkan. Hanis dapat penguji dan urusetia yang baik-baik belaka. Penguji tu semua Pegawai Penjara. Yang paling penting, Hanis lulus semua Ujian Fizikal dan Kecergasan. Selepas habis semua Ujian, Urusetia sebutkan nama-nama calon yang Lulus dan akan dipanggil untuk temuduga dalam masa yang terdekat. Yang penting, tak ada temuduga hari yang sama! Hahaha.

Tamat sudah cerita Hanis, semoga bermanfaat dan boleh dijadikan rujukan untuk korang yang akan menjalani ujian ni nanti. Apa-apa pun Semoga Berjaya ya ! Jangan lupa Follow Blog ni dan tinggalkanlah komen sikit 😘

Jap ! Sebelum tu Hanis nak tanya, korang nak tak Sha Share Pengalaman Temuduga Jawatan ni ? Jom Komen, kalau ada yang nak Hanis akan pertimbangkan. Ok bye ! 💖

- Hanis Shazira

Friday 12 July 2019

Jangan Terlalu Cepat Menilai


Di saat kita rasakan kitalah manusia yang paling susah, ingatlah ada manusia yang jauh lebih susah; bahkan lebih berat dugaannya dari kita.Tiada siapa yang terlepas daripada ujian dunia. Dunia ni ibarat dewan peperiksaan. Kita belajar, kita patuh perintah Allah, kita ikut sunnah nabi untuk dapatkan keputusan yang baik sewaktu di akhirat nanti.

Tiada siapa yang belajar di sekolah untuk straight F bukan? Tiada siapa berusaha untuk gagal. Dunia ini adalah saham kita semasa di akhirat. Kita mengumpul pahala untuk syurga, bukan mengumpul dosa ke neraka.

Mindset itu penting. Tanamkan dalam hati siap-siap, ada orang diduga dengan peperangan, dengan kematian ahli keluarga, dengan macam-macam musibah dan bencana. Kita tidak boleh terlalu cepat menilai. Walaupun ujian yang dihadapi seseorang itu mirip dengan kita, ketahuilah apa yang dia alami itu tidak akan pernah sama dengan kita.

Bila kita cerita masalah dengan orang, orang akan cakap,

"Nasib kita sama, aku faham perasaan kau. Aku dulu pun pernah kena macam ni".

Baiklah, pertama sekali mungkin situasinya berbeza. Cara setiap manusia menerima ujian itu juga berbeza. Jika kita menerima dengan berlapang dada mungkin ia mudah bagi kita. Tetapi untuk orang lain, mungkin ia adalah ujian yang sangat berat. Jangan pernah perlekehkannya. Bagi kita ia nampak mudah kerana kita tidak berada di dalam situasi dia. Mungkin dia ada masalah lain yang menganggu.

Kadang-kadang kita lihat secara zahirnya seseorang itu bahagia. Tetapi kita tidak tahu andai batinnya tersiksa. Andai jiwanya merana. Manusia menilai dari kekayaan dan rupa. Orang yang cantik dan hidup mewah mesti bahagia. Tidak, kita silap.

Ada orang kaya, tapi tak bahagia.
Cantik, tapi ada masalah keluarga.

Kita tidak boleh menilai dengan hanya sekilas pandang. Kerana itulah orang yang lebih rapat sahaja akan memahami. Sebenarnya kita sendiri tidak sangka, disebalik kebahagiaan seseorang terselindung ribuan kesakitan dan kekecewaan.

Ujian itu sama rata; hanya bentuk dan cara kita menerimanya yang berbeza.

Semakin besar dugaan yang diterima, semakin besar kasih sayang Allah kepada kita jika kita kuat dan sabar menempuhinya. Maka, bersangka baiklah dengan Allah. Allah tidak akan memberikan ujian yang tidak dapat ditempuhi oleh hambaNya.

- Ellshazraa, 2018 

P108) Perbezaan Warna Kulit

Malaysia, yang unik tentang negara ini adalah kepelbagaian kaum, bangsa, budaya dan agama. Yang menaikkan nama Malaysia adalah kerjasama setiap kaum yang bersama memajukan negara tercinta. Jelas disini, peranan setiap rakyat adalah sangat penting kerana kita saling bersandaran. Tanpa usaha sesuatu kaum itu, mungkin kita tidak dapat kecapi kesenangan kini.

Mengapa saya bahas isu yang sudah lama lapuk ditelan zaman ini? Setiap orang pun dah tahu tentangnya, satu fakta yang sangat klise tapi teramat sensitif. Baiklah, bagi saya ketiga-tiga kaum ini sangat diperlukan, sebagai contoh di sekolah, universiti, tempat kerja dll. Mengapa? Kerana pendapat dan pandangan mereka berbeza-beza. Kerana inilah kita unik.

Secara jujurnya, saya tidak pernah memilih untuk berkawan dengan siapa. Sama ada melayu, india atau cina kerana bagi saya, kita sama-sama manusia. Saya mesra dengan semua, asalkan mereka turut baik dengan saya.

Tapi, saya sangat sakit hati bila tengok sesetengah orang melayu yang memandang rendah kaum lain. Segelintir ya, bukan semua. Mungkin kerana wujudnya titik riak atau sikap membeza-bezakan dalam hati mereka. Saya kasihan dengan kaum india, kerana orang melayu suka perlekehkan mereka, sebab itu kadangkala mereka berusaha dengan lebih keras sehingga lebih berjaya dari kaum melayu.

Mengapa segelintir orang melayu ramah dengan orang cina tidak dengan orang india?

Kerana perbezaan warna kulit.

Sejak kecil mereka diajar bahawa yang putih itu cantik. Orang berkulit putih itu comel. Kadang-kadang dunia kelihatan tidak adil, kerana rupa; salah silap mereka terlindung dibalik wajah.

Bila lihat sahaja orang berkulit gelap, persepsi mereka sudah berubah. Yang gelap ini pastinya kotor. Sudah tentunya tidak. Sedangkan jelambu kaabah yang hitam itu lebih menyenangkan berbanding kain kafan yang putih bersih. Malah, Bilal Bin Rabah yang berkulit gelap itu sendiri adalah ahli syurga.

Kesimpulan kecil yang mudah disini, sama ada dia cerah atau gelap; tempatnya sama di sisi Tuhan. Yang membezakan adalah amal ibadat atau perwatakan mereka. Tingkah laku mereka yang pantas dinilai, bukannya warna kulit mereka.

Kadangkala persepsi orang melayu itu begini, yang cerah itu pembersih, yang gelap itu pengotor. Jika orang india itu sebersih mana pun, disebabkan dia berkulit gelap, dia dianggap kotor. Jika orang cina atau melayu yang berkulit cerah itu tidak mandi sekali pun, orang tetap anggap dia bersih kerana kulitnya putih.

Saya kecewa, apabila ada orang melayu yang agamanya Islam sanggup menyakiti kaum lain kerana perbezaan bangsa dan warna kulit. Sedangkan Islam itu sangat indah dan menuntut kita untuk berbuat baik dengan semua manusia tidak kira agama dan bangsa.

Mulai hari ini, ubahlah persepsi anda terhadap kaum lain. Berhenti daripada terperuk di dalam minda yang sempit dan negatif. Kerana mindset anda yang teruk itulah, anda tidak berjaya.Wallahualam.

PUISI PERPADUAN

Kini, sudah tiba masanya
Aku dan kamu menepis sengketa
Visi negara dijulang bersama
Dipasak langkah; berjuang setara.

Kita adalah bangsa malaysia
Berteduh di bawah jumantara kelabu
Berkongsi subur tanah dan segar udara
Saling percaya dan berganding bahu.

Biar berbeza rupa dan warna
Di kota dan desa seia sekata
Di bawa nama ke persada dunia
Teguh dipegang bersama-sama.

Berbeza adat berlainan pendapat
Digaul dicantum menjadi erat
Negara maju kerana muafakat
Perpaduan dipupuk dalam masyarakat.

Kita; bakal membentuk sebuah sejarah
Jadikan ia hikayat yang indah
Pahit maung telah diredah
Berikan anak cucu kita masa depan yang cerah.

Kita; adalah masa depan Malaysia
Bangkitlah menjadi pembela
Jika tanah ini dicemari derita
Kerana kita; satu Malaysia.

-Ellshazraa, 2017

Menyebar Aib Di Instagram

Andai kata instagram ni aku umpamakan seperti sebuah album gambar. Aku selak satu persatu, menjengah diari kehidupan manusia lain. Aku terfikir sejenak; kenapa masih ada manusia yang bersusah payah mencipta sebuah album untuk orang lain berbanding membina album kehidupannya sendiri ?

Sedangkan dia tidak tahu sampai bila dia punya waktu untuk menyemadikan seberapa banyak foto dalam albumnya sendiri. Maksudnya di sini, kenapa wujudnya manusia yang sibuk mencanangkan aib orang lain tanpa melihat album perjalanan dirinya di dunia ini ?


Apa sepanjang perjalanan hidup dia dipenuhi dengan pahala semata-mata tanpa terpalit walau secebis dosa ? Sanggup kau bina satu akaun untuk menyebarkan aib si dia semata. Aku kadang-kadang musykil; kenapa kau bazirkan masa untuk mengajak orang lain sama-sama membenci dan memaki ?


Baca dan fahami apa yang aku cuba nak sampaikan ni.


Kita saudara sesama Islam, kau dan aku pun tahu hukum menyebarkan aib orang lain. Akan ada satu suara lantang menjerit "Dia sendiri tak jaga aib dia, kenapa pulak aku yang nak jaga?".


Dia tak jaga itu hal dia dengan Tuhan, andai kata kau turut sama menyebarkan; kau tetap sama dapat dosa menambah aib orang lain.


"Jangan mengawasi orang lain, jangan mengintai geraknya, jangan membuka aibnya, jangan menyelidikinya, sibuklah dengan diri kalian, perbaiki aibmu, kerana kamu akan ditanya oleh Allah tentang dirimu, bukan tentang orang lain".

( Sayyidina Ali Bin Abi Talib r.a )


Maka-- apa kau masih nak menyibukkan diri dengan dosa yang orang lain lakukan ? Kau Islam, kenapa kau memaki dan menghina saudaramu ? Kemudian, kau biarkan saudara yang lain turut sama mengumpul dosa dengan lakukan hal yang sama sepertimu.



Image from pinimg.com

Ellshazraa, 2019

P107) CINTA

Cinta itu tidak pernah buta untuk melihat semua keindahannya. Malah, cinta itu celik menilai kekasih yang ada dihadapan mata.

Hanya kita yang tahu buruk dan baik Sang Arjuna. Hanya kita yang mampu melihat tingkah laku Si Dewi Ratna.

Biar ada cacat cela dimata setiap manusia, namun kita dikaburi dengan helah afeksi dan benih cinta yang mula bercambah.

Nanti; hanya akan ada seorang insan yang bakal menjagamu. Melindungi dan setia melayani karenahmu. Bahkan, menyusun rona-rona pelangi buat mengukir senyumanmu.

Namun, apa kau benar-benar pasti hari itu kan muncul nanti? Apa kau yakin, pelangi itu bakal tercipta, atau tanah menimbusi jasadmu yang dihanyut helah cinta?

Ellshazraa, 25 Sept 2018

P106) Pasti Ada Yang Pergi

Selagi jantung ini masih berdetak,
Akan ku sebar debunga wangi,
Memulihkan hati yang semakin retak,
Terus menerus menyatukan hati.

Meski aku sudah tahu,
Tidak semua setia denganku.
Pasti akan ada antara kita,
Pergi dan tidak menoleh semula.

Ellshazraa, 16 Nov 2018

Sunday 24 March 2019

P105) Aku, Pen Dan Kertas

Mungkin hari-hari yang akan mendatang, aku masih berdiam diri. Bersama pen dan kertas, menconteng di sana sini. Secawan kopi hitam beraroma, kekal bersama. Setia di sudut meja, peneman di kala duka, di saat malam gelita mencemburui aku dan kenanganku, yang tidak pernah henti memburu.

Ellshazraa
           

P104) GANTI

Naskah lagenda
Kerap terbuang
Warkah cinta
Bebas terbang
Teguh di menara langit
Perang bersaing sengit
Hilang bayang-bayang
Dikucup lantang
Semua memandang
Tinggal kenang

Ellshazraa

P103) Ilusi 6 Sept

Malam ini, aku mengatur langkah seorang diri. Setapak demi setapak menuju jalan yang sunyi.

Malam gelita diterangi lampu jalan yang menguning. Bak langit jingga yang aku tatapi kelmarin.

Seorang diri aku disini, bukan kerna alasan yang tak pasti. Sekian lama aku menanti namun ia tidak kembali.

Ada pernah suatu ketika, bayangan dia berdiri megah. Tersenyum mesra di bawah tiang lampu, melambai lambai ke arahku.

Namun kini; wajahnya tak muncul lagi. Terus lenyap bersama malapnya sinaran itu. Dan aku terpaku; terus menangisi pemergianmu.

Ellshazraa, 2016

P102) Monolog 28 Jun


Biarkan percikan darah mencemari setiap insan bernyawa. Asal kau dekat bersama maka sedialah tuk dinodai tinta sialan namun penuh keikhlasan dalam bait aksara picisan tanpa noktah. Asal kau tahu di ketika aku menggarap puisi-puisi derita, darah tersimbah memarak nyalaan api yang membakar jiwa, hingga tiba saat air memadamkan bara, debu berterbangan tiada tinggal meski satu daripadanya. Usah kau cari lagi cebisan-cebisan hati yang berkecai kerna duka.

Ellshazraa

P101) Al-Aqsa ; Bukan Pengakhiran

1512 | Arisan Puisi GTBP

Kata picisan ini kami layangkan,
Buat saudara seperjuangan.
Semangatlah kalian jangan menyerah,
Al-Aqsa selamanya milik kita.

- Ellshazraa

Kita punya pencipta yang agung,
Maha kuasa memberi penentuan dalam perancangan,
Doa yang tidak putus-putus,
Senjata paling agung tidak dapat dibandingkan.

- Bahira

Dibandingkan dengan segala seksa,
Sungguh dahsyat kalian semua menderita,
Raungan kalian tiada pendengarnya,
Jelaslah agenda durjana yang menyembunyikannya.

- beau

Menyembunyikannya tidak semudah yang disangka,
Perit dan pedih seakan sudah terbiasa,
Darah dan nyawa menjadi mainan mereka,
Demi al-aqsa rela kalian korbankan tubuh.

- zaa

Tubuh yang longlai bukan sia-sia,
Pertahan agama negara tercinta,
Manusia dunia mampu bicara ,
Namun hanya mereka tahu segalanya.

- ds

Segalanya yang menyebabkan cinta dan negara,
Bersatu terus di dinding kalbu,
Engkau tahu? Bagaimana sakitnya jiwa ini?
Persis hati yang ditikam bertubi.

- Pena menulis

Bertubi tubi hentaman menerpa kalian ,
Manusia disini hanya mampu membuat kesimpulan  ,
Sedangkan kalian menghadap perbalahan dan amukan ,
Maafkan kami yang disini dalam kelalaian.

- Chuaa

15DIS2017, 2000pm.
Kolaborasi 7 Pemuisi GTBP

Copyright 2019 Reserved to ELLSHAZRAA