Friday 12 July 2019

Jangan Terlalu Cepat Menilai


Di saat kita rasakan kitalah manusia yang paling susah, ingatlah ada manusia yang jauh lebih susah; bahkan lebih berat dugaannya dari kita.Tiada siapa yang terlepas daripada ujian dunia. Dunia ni ibarat dewan peperiksaan. Kita belajar, kita patuh perintah Allah, kita ikut sunnah nabi untuk dapatkan keputusan yang baik sewaktu di akhirat nanti.

Tiada siapa yang belajar di sekolah untuk straight F bukan? Tiada siapa berusaha untuk gagal. Dunia ini adalah saham kita semasa di akhirat. Kita mengumpul pahala untuk syurga, bukan mengumpul dosa ke neraka.

Mindset itu penting. Tanamkan dalam hati siap-siap, ada orang diduga dengan peperangan, dengan kematian ahli keluarga, dengan macam-macam musibah dan bencana. Kita tidak boleh terlalu cepat menilai. Walaupun ujian yang dihadapi seseorang itu mirip dengan kita, ketahuilah apa yang dia alami itu tidak akan pernah sama dengan kita.

Bila kita cerita masalah dengan orang, orang akan cakap,

"Nasib kita sama, aku faham perasaan kau. Aku dulu pun pernah kena macam ni".

Baiklah, pertama sekali mungkin situasinya berbeza. Cara setiap manusia menerima ujian itu juga berbeza. Jika kita menerima dengan berlapang dada mungkin ia mudah bagi kita. Tetapi untuk orang lain, mungkin ia adalah ujian yang sangat berat. Jangan pernah perlekehkannya. Bagi kita ia nampak mudah kerana kita tidak berada di dalam situasi dia. Mungkin dia ada masalah lain yang menganggu.

Kadang-kadang kita lihat secara zahirnya seseorang itu bahagia. Tetapi kita tidak tahu andai batinnya tersiksa. Andai jiwanya merana. Manusia menilai dari kekayaan dan rupa. Orang yang cantik dan hidup mewah mesti bahagia. Tidak, kita silap.

Ada orang kaya, tapi tak bahagia.
Cantik, tapi ada masalah keluarga.

Kita tidak boleh menilai dengan hanya sekilas pandang. Kerana itulah orang yang lebih rapat sahaja akan memahami. Sebenarnya kita sendiri tidak sangka, disebalik kebahagiaan seseorang terselindung ribuan kesakitan dan kekecewaan.

Ujian itu sama rata; hanya bentuk dan cara kita menerimanya yang berbeza.

Semakin besar dugaan yang diterima, semakin besar kasih sayang Allah kepada kita jika kita kuat dan sabar menempuhinya. Maka, bersangka baiklah dengan Allah. Allah tidak akan memberikan ujian yang tidak dapat ditempuhi oleh hambaNya.

- Ellshazraa, 2018 

No comments:

Post a Comment

Copyright 2019 Reserved to ELLSHAZRAA