Friday 12 July 2019

Menyebar Aib Di Instagram

Andai kata instagram ni aku umpamakan seperti sebuah album gambar. Aku selak satu persatu, menjengah diari kehidupan manusia lain. Aku terfikir sejenak; kenapa masih ada manusia yang bersusah payah mencipta sebuah album untuk orang lain berbanding membina album kehidupannya sendiri ?

Sedangkan dia tidak tahu sampai bila dia punya waktu untuk menyemadikan seberapa banyak foto dalam albumnya sendiri. Maksudnya di sini, kenapa wujudnya manusia yang sibuk mencanangkan aib orang lain tanpa melihat album perjalanan dirinya di dunia ini ?


Apa sepanjang perjalanan hidup dia dipenuhi dengan pahala semata-mata tanpa terpalit walau secebis dosa ? Sanggup kau bina satu akaun untuk menyebarkan aib si dia semata. Aku kadang-kadang musykil; kenapa kau bazirkan masa untuk mengajak orang lain sama-sama membenci dan memaki ?


Baca dan fahami apa yang aku cuba nak sampaikan ni.


Kita saudara sesama Islam, kau dan aku pun tahu hukum menyebarkan aib orang lain. Akan ada satu suara lantang menjerit "Dia sendiri tak jaga aib dia, kenapa pulak aku yang nak jaga?".


Dia tak jaga itu hal dia dengan Tuhan, andai kata kau turut sama menyebarkan; kau tetap sama dapat dosa menambah aib orang lain.


"Jangan mengawasi orang lain, jangan mengintai geraknya, jangan membuka aibnya, jangan menyelidikinya, sibuklah dengan diri kalian, perbaiki aibmu, kerana kamu akan ditanya oleh Allah tentang dirimu, bukan tentang orang lain".

( Sayyidina Ali Bin Abi Talib r.a )


Maka-- apa kau masih nak menyibukkan diri dengan dosa yang orang lain lakukan ? Kau Islam, kenapa kau memaki dan menghina saudaramu ? Kemudian, kau biarkan saudara yang lain turut sama mengumpul dosa dengan lakukan hal yang sama sepertimu.



Image from pinimg.com

Ellshazraa, 2019

No comments:

Post a Comment

Copyright 2019 Reserved to ELLSHAZRAA