Wednesday 29 June 2016

P82) Lupa

Kadangkala, kita lupa.
Bahawa Tuhan telah merancang segala.
Seringkali kita leka,
Bahawa takdir setiap hamba berbeza.

Lalu mengapa ranjang insan dibandingkan,
Seolah semua orang meniti jalan yang sama.
Lantas mengapa hidupku dipersoalkan,
Tatkala galur dilalui tidak seperti mereka.

Semua berpunca kerana kita alpa,
Asyik berfikir tentang bicara manusia,
Hingga hilang rasa percaya,
Bahawa dibalik tirai sengsara,
Tersembunyi hikmah tidak dijangka.

Keliru dengan fatamorgana,
Hanyut dibawa arus dunia,
Terlalu taksub dengan maya,
Hingga yang baik disisi-Nya,
Seolah berdosa dipandang celaka.

Hanya satu yang aku pinta,
Teruslah mengejar ilmu dunia.
Kerna kau yakin hidup berjaya,
Jika dipandang oleh manusia.

Ellshazraa, 
Jun 29 2016, 1143am

P81) MONOLOG 29JUN

Berpurnama sudah berlalu. Meninggalkan aku berlagu syahdu.Sehingga kini aku masih buntu, tidak dapat menerima hadirmu. Usah kau soalkan apa silapnya, hanya aku yang tidak bisa, mungkin hati tak dapat bersama.

Aku rindu afeksi darinya yang hilang semenjak eksistensimu dalam ranjangku. Andai dapat ku putarkan waktu, aku mahu hidup yang dahulu. Saat perhatian semuanya milikku, tiada kesangsian menerjah jiwaku. Namun itu tidak akan berlaku, meski waktu berganti waktu.

Marhaen lemah persis aku, tidak layak tuk bersuara. Kerna semua kata-kata dianggap dusta ditepis hina. Aku kalah dalam perdebatan menebus sengsara, selamanya terpuruk kaku didalam atma.

Aku adalah aku,yang hanya mampu diam membisu. Bukan caraku memintas aksaramu bahkan bukan tingkahku melawan arus qalam mu yang tajam dan tirus. Satu persatu butir-butir ambisi untuk meluah, tertahan hingga berombak kencang di dalam dada.

Biarkan saja, aku begini selamanya.

Futur dan pasrah,
Ellshazraa,
Jun 29 2016, 1041am

Copyright 2019 Reserved to ELLSHAZRAA