Friday 1 July 2016

P84) Keliru

Dahulu, aku pernah menyatakan engkaulah mutiara yang muncul di tengah-tengah samudera. Sinar matamu menerangi setiap galur perjalananku, membangkitkan aku dari mimpi ngeri yang kerap menggangu.

Lalu dicurah sumpah setia segala, memateri janji sehidup semati. Namun kini aku yang sangsi, dengan lafaz bibirku sendiri. Buatmu pemilik sanubari, ku coretkan warkah dari pedalaman nyali, usah kau tangis tingkahku ini, yang semakin lama acapkali menyakiti.

Rasa ini tidak pernah berubah, tidak kurang bahkan bertambah. Usah percaya pada bait kata yang terpacul tanpa sengaja, asal kau tahu segalanya dusta dan palsu semata-mata. Engkau, adalah harapan bagi segala impianku, nadi bagi seluruh kehidupanku. Satu-satunya nyawa yang membawa aku semula dari mimpi lena yang mengancam jiwa.

Aku hanya takut kehilanganmu, kerisauan dan kekeliruan sering menghantuiku. Hingga aku mulai buntu untuk mengkasara sesuatu dan akhirnya mengecewakanmu. Ketahuilah sayangku, hanya kamu dihatiku dan aku terima segala tentang kamu.

Meski, hatimu tulus mencintai dan tidak pernah memarahi,ambalela dan manja menghanyutkan kita ke lembah derita. Bertahanlah dengan arus ini, yang seringkali membawaku pergi. Walau apa pun terjadi, genggam eratlah tangan ku ini.

Ellshazraa - MAM
Jun 30 2016, 1443pm

P83) Warkah Buat Hati

Buat hati yang sering menitiskan mutiara nelangsa,

Tanamkanlah di dalam dirimu, cebisan ketabahan dan kekuatan.Semaikanlah benih-benih kesabaran tuk menempuh segala dugaan. Tiada siapa yang berhak mengasihanimu kerna hanya engkau yang tahu urat nadi ceritera berliku.

Setiap darah yang mengalir di jaringan kapilari, mengangkut seribu satu kisah seorang manusia. Sarat dengan pelbagai rasa yang merah pekat menyala. Usah merayu dengan tangisan berlagu untuk meluah isi hatimu, hakikat mereka tidak akan mengerti jauh sekali tuk menghadami.

Simpanlah jaringan yang tersimpul mati di sudut nyali. Bertahanlah pabila dirimu dicaci maki. Kerna mereka punya cerita berbeza dan tiada masa meminjamkan telinga. Janganlah berharap pada mimpi yang indah. Kerna helah maya tiada henti berdusta.

Saat engkau tunduk mengalah, usah bertanya mengapa engkau kecewa. Tidak perlu mendamba bantuan mereka, bangkitlah dari kejatuhan yang melanda, dengan sendiri sekalah airmata. Ketahuilah, mutiara itu sentiasa berharga. Usah dibazir demi yang sia-sia.

TIDAK. Tidak semua orang bisa memahamimu. Tidak semua yang sentiasa bersama dan menjaga dengan hati terbuka. Maka, belajarlah tuk menerima. Bahawa engkau perlu memujuk diri dan pergi. Bangkit dari mimpi dan fantasi, kembalilah ke--

Ellshazraa,
30 Jun 2016, 1356PM
Copyright 2019 Reserved to ELLSHAZRAA